NEW 1 photo 1-1.png NEW 2 photo 2-1.png NEW 3 photo 3-1.png NEW 4 photo 4-1.png

Thursday 17 November 2011

KONSEP KETINGGIAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi. Ini kerana, perlembagaan menjadi punca kepada semua undang-undang yang terdapat di Malaysia. Selain itu tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan dan semua undang-undang tidak boleh berlawanan dengan Perlembagaan. Mahkamah mempunyai kuasa membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh Parlimen jika bertentangan dengan Perlembagaan. Walaupun Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara, tetapi Baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan. Tidak ada seorang pun berhak mengganggu dan mempersoalkan ketertinggian perlembagaan.

Perlembagaan Malaysia mengandungi 131 Perkara yang menyentuh pelbagai aspek pemerintahan. Perlembagaan juga mengandungi 16 Bahagian. Bahagian-bahagian tersebut ialah:-

Bahagian I : Negeri-Negeri, Agama Dan Undang-Undang Bagi Persekutuan

Malaysia adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga belas negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni. Perlembagaan adalah undang-undang utama persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah.


Bahagian II : Kebebasan Asasi

Bahagian ini menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita miliki; hak untuk hidup dan kebebasan; kebebasan daripada perhambaan dan menjadi buruh paksaan; kesamarataan di sisi undang-undang; kebebasan bergerak; kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu; kebebasan agama; hak untuk berpendidikan; dan hak untuk memiliki harta.


Bahagian III : Kewarganegaraan

Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara; dilahirkan di sini; berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia; tinggal secara sah di dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan. Bahagian III juga menyatakan bagaimana seseorang boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegaraan.


Bahagian IV : Persekutuan

Bahagian ini memberi panduan kepada sistem kerajaan di Malaysia. Ketua utama persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja negeri-negeri dan juga Yang Di-Pertua bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja. Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan Pejabat Perdana Menteri. Bahagian ini juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Bahagian V : Negeri-Negeri

Setiap negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan masing-masing. Bahagian VI : Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri Bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara persekutuan dan negeri-negeri. Terdapat perkara yang membolehkan Parlimen menggubal undang-undang dan terdapat pula perkara yang membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang. Terdapat juga perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang.


Bahagian VII : Peruntukan Kewangan

menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.


Bahagian VIII : Pilihan Raya

menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita. Badan yang ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihan raya dan menyediakan daftar pemilih dikenali sebagai Suruhanjaya Pilihanraya. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.


Bahagian IX : Badan Kehakiman

mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia. Bahagian IX juga menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dilantik.



Bahagian X : Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam

Bahagian ini mengenal pasti perkhidmatan awam di Malaysia, termasuklah pasukan polis, angkatan tentera dan perkhidmatan pelajaran. Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian serta kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri-negeri. Pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh “Suruhanjaya–suruhanjaya” dan anggota Suruhanjaya-suruhanjaya ini secara umumnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Bahagian X juga mewujudkan Pejabat Peguam Negara.



Bahagian XI: Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat.

Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang boleh membelakangi hak-hak lain dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas sebab-sebab keselamatan awam.



Bahagian XII : Am Dan Pelbagai

Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak dan memelihara memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain. Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh dilakukan ke atas Perlembagaan.



Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak.

Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak, contohnya perizaban tanah peribumi bagi masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak.



Bahagian XIII: Peruntukan Sementara Dan Peralihan

Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal sebelum merdeka masih berkuat kuasa sehinggalah Parlimen menggubal undang-undang baru untuk menggantikan mereka.



Bahagian XIV: Kecualian Bagi Kedaulatan, dsb., & Raja-Raja

Kedaulatan, kuasa, perogratif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara dalam Bahagian XIV.



Bahagian XV: Prosiding Terhadap Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja.

Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas ”.



Pindaan Perlembagaan Malaysia

Perlembagaan negara boleh dipinda apabila majoriti 2/3 bersetuju kepada pindaan tersebut dikedua-dua dewan di PARLIMEN. Perlembagaan negara telah dipinda lebih daripada 42 kali sejak selepas kemerdekaan. Terdapat dua dewan penting yang terlibat dalam pindaan perlembagaan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Parlimen.

Dewan rakyat berperanan mengubal dan membahas rang undang-undang. Anggota Dewan Rakyat dipilih menerusi pilihanraya umum dimana mereka bertanding bagi kawasan Parlimen. Sehingga pilihanraya 2008 sebanyak 219 kerusi parlimen dipertandingkan bagi mengisi keanggotaan di Dewan Rakyat. Anggota Dewan Rakyat juga dikenali sebagai Yang Berhormat

Dewan Negara berperanan membahas rang undang-undang yang telah diluluskan di dalam dewan rakyat. Anggota dewan negara juga dikenali sebagai senator adalah dipilih dan dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong seramai 40 orang

Wednesday 2 November 2011

Kronologi Pembentukan Perlembagaan Malaysia

1. April 1946 (Perlembagaan Malayan Union)

British Military Administration (BMA) telah dibubarkan pada bulan Mac 1945. diikuti dengan pembentukan Kesatuan Tanah Melayu (Malayan Union) pada 1 April 1946. Perlembagaan ini terbentuk hasil dari Perjanjian Mac Michael pada tahun 1945. Perjanjian ini memberi peruntukan kepada British bagi mentadbir Tanah Melayu dalam perintah-dalam-Majlis berpandukan kepada Arahan Diraja (Royal decree) bertarikh 23 Mac 1946. Semua peristiwa yang berlaku ini dipanggil sebagai Perlembagaan Kesatuan Tanah Melayu 1946. Bagaimanapun, perlembagaan dan perjanjian ini mendapat tentangan yang kuat dari raja-raja Melayu dan Rakyat Tanah Melayu. Ini kerana, konsep kesetiaan kepada raja tidak diamalkan dalam Malayan Union.



2. 1 Februari 1948 (Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948)

Setelah Kesatuan Tanah Melayu telah gagal, satu lagi perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dibentuk. Hasil dari perjanjian ini satu perlembagaan baru telah digubal dan berkuat kuasa pada 1 Februari 1948 iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, 1948. Mengikut perjanjian ini, Kerajaan Pusat akan mengandungi seorang Pesuruhjaya Tinggi British, sebuah Majlis Mesyuarat dan sebuah Majlis Perundangan. Majlis Perundangan (Legislative Council) mempunyai anggota rasmi dan sebilangan besar anggota tidak rasmi akan dipilih dan dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British.

Sejak tahun 1948, setiap negeri Melayu mempunyai perlembagaan masing-masing. Johor dan Terengganu telah pun mempunyai perlembagaan lebih awal lagi, masing-masing pada tahun 1895 dan 1911. Ianya dipinda supaya sesuai dengan kehendak Perjanjian Persekutaun 1948.



3. Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC)

Kepelbagaian kaum yang terdapat di Tanah Melayu telah membawa satu lagi pembentukan ke arah berperlembagan. Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (1949) terdiri daripada pelbagai hubungan etnik telah berusaha menyelesaikan masalah perlembagaan, politik dan ekonomi. Ia wujud kerana permintaan yang berlainan daripada pelbagai etnik. CLC ditubuhkan secara tidak rasmi untuk membincangkan isu seperti kewarganegaraan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta dasar pendidikan. Melalui CLC ini pemimpin dari pelbagai golongan etnik berbincang secara terbuka mengenai permasalahan yang wujud dan mencari jalan penyelesaian. Tokoh yang menganggotai jawatankuasa ini ialah Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Abdul Wahab Abdul Aziz, Tan Cheng Lok, C.C. Tan, Dr. J. S. Goonting dan E.E.C. Thuraisingham. Kebanyakan cadangan CLC telah dimasukan ke dalam usul-usul perundangan yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Jawatankuasa ini telah berjaya memupuk persefahaman antara pemimpin pelbagai kaum.



4. Perlembagaan Kemerdekaan 1957

Pada 9 Julai 1963, kerajaan-kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, United kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura telah menandatangani Perjanjian Malaysia Borneo Utara, Sarawak dan Singapura akan bersekutu dengan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada, dan persekutuan ini dinamakan Malaysia. Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Akta Malaysia untuk meminda Perkara 1(1) dan Perkara (2) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Akta ini berkuatkuasa pada 16 September 1963. Pada masa yang sama juga Queen Great Britain melepaskan bidang kuasa baginda di Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. merdeka dan berdaulat dengan mempunyai perlembagaannya sendiri. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, telah dijadikan asas kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah diisytiharkan pada 16 September 1963. Bagi sabah dan Sarawak draf Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah dilampirkan dalam Jadula Perjanjian Malaysia dan perlembagaan itu kemudiannya telah diisytiharkan sebagai Perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Secara ringkasnya kronologi penggubalan Perlembagaan persekutuan adalah bermula daripada Perlembagaan Malayan Union dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.



Tuesday 1 November 2011

PERLEMBAGAAN DI MALAYSIA.

Bagi memenuhi tuntukan rakyat dalam era sebelum kemerdekaan, pihak British telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan seterusnya menggubal satu perlembagaan yang dapat memenuhi tuntutan rakyat di negara ini, khususnya berkenaan dengan nilai-nilai tradisi masyarakat pribuminya. Nilai-nilai tradisi yang dimaksudkan adalah: Kedudukan istimewa Raja-raja Melayu, Hak keistimewaan orang Melayu, Agama, dan Bahasa.


Unsur-Unsur Tradisi

Berikut adalah penjelasan bagi keempat-empat nilai tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itu.

1. Kedudukan Istimewa Raja-raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong.

Beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai kaitan dengan kedudukan istemewa Raja-raja Melayu ini termasuklah Perkara 32, perkara 41, perkara 42, Perkara 44, Perkara153, dan Perkara 122B, perkara 41. Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Oleh sebab itulah unsur tradisi ini dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana sudah sekian lama orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja.


2. Agama Islam.

Perkara 3 Perlembagaan menjelaskan bahawa agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11). Namun begitu hak-hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri, atau undang-undang Persekutuan bagi kes Wilayah Persekutuan, jika pengembangan itu dibuat di kalangan mereka yang telah menganut agama Islam – Perkara 11 (4). Berdasarkan falsafah Islam “membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia”, maka perlembagaan yang baik pasti akan menghormati hak-hak rakyat dalam negara tersebut, dan tidak cuba memaksa rakyat memperhambakan diri mereka kepada ideologi pemerintah. Peruntukan undang-undang seperti ini menunjukkan bahawa pemerintah amat bertoleransi dengan kaum-kaum lain yang mengamalkan agama yang berbeza.


3. Hak keistimewaan Orang-Orang Melayu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak ada dinyatakan dalam Perkara 153. Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera meliputi: Bidang Perkhidmatan Awam – Perkara 153 (2, 3 dan 4); Bidang Ekonomi – Perkara 153 (6) dan Bidang Pelajaran – Perkara 153 (2, 3 dan 4). Selain itu, kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputera yang lain juga terdapat dalam peruntukan Perkara 89 dan 90, iaitu berhubung dengan tanah rizab Melayu; dan Perkara 8(5)(f) berkenaan kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan. Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).


4. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan

Perkara 152 (1) menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan. Bahasa ini secara automatiknya menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud “rasmi” ditakrifkan oleh Perkara 152 (6) dengan makna “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”. Berdasarkan sejarah, bahasa Melayu telahpun menjadi lingua franca sekian lamanya (Salleh Abbas, 1986). Oleh kerana tanah melayu di diami oleh majoritinya orang melayu, maka adalah amat wajar sekiranya bahasa melayu dijadikan bahasa rasmi. Negara yang mempunyai satu bahasa rasmi yang mampu di fahami ileh semua kaum juga akan dapat meningkatkan perpaduan.